Agar anda tahu nak guna mana satu dan kenapa nak pilih yang itu.
Persoalan yang pasti muncul untuk setiap blogger baru.
Apa beza antara WordPress.com dan WordPress.org?
Dalam post ini kita akan cuba lihat dengan ‘mendalam’ perbezaan kedua-dua WordPress ini.
Moga-moga dapat membantu kefahaman anda.
Tapi sebelum itu anda perlu tahu, secara umumnya:
- WordPress.com adalah tempat dimana anda boleh bina blog tanpa perlu risau benda-benda seperti domain dan hosting. Anda boleh bina laman anda secara percuma, tetapi jika nak fungsi lebih atau nak ‘personalize’ kenalah membayar…
- WordPress.org pula adalah tempat anda boleh dapatkan software WordPress secara percuma. Tetapi untuk nak guna software ini kenalah beli domain dan juga hosting sendiri.
Sekali imbas nampak macam lagi baik guna WordPress.com bukan?
Sebelum anda buat pilihan habiskan dahulu baca.
Berikut merupakan topik-topik yang kita akan lihat.
Kandungan:
- Latar belakang
- Kos perbelanjaan
- Proses setup
- Pilihan theme
- Pilihan plugin
- Pilihan pengubahsuaian
- Pilihan jana income
- Kesimpulan
- Topik tambahan
1. Latar belakang WordPress.com & WordPress.org
Nama yang sama tapi berbeza.
(But orang confuse..)
WordPress.com dan WordPress.org adalah dua entiti yang berbeza.
WordPress.org adalah laman rasmi untuk anda dapatkan software (perisian) WordPress. Yang original.
Perisian tersebut percuma dan diklasifikasikan sebagai open-source software.
Maknanya anda boleh muat turun, ubahsuai dan edar semula software tersebut.
Bila kita sebut WordPress.org, ia merujuk kepada perisian asal WordPress.
WordPress.org tidak dimiliki oleh siapa-siapa. Open-source, dimiliki oleh semua orang (termasuk anda dan saya).
WordPress.com pula ialah platform blogging yang menggunakan perisian wordpress yang telah diubahsuai.
Dengan tujuan?
Memudahkan mereka yang kurang pengetahuan teknikal untuk menggunakan perisian wordpress.
WordPress.com dimiliki oleh syarikat Automattic.
Kenapa mereka guna nama yang sama?
Pemilik syarikat Automattic, Matt Mullenweg sebenarnya adalah salah seorang daripada pengasas yang memulakan projek perisian WordPress.
Suatu ketika dahulu, salah satu sebab beliau menubuhkan WordPress.com adalah untuk menyokong perkembangan WordPress.org dari segi kewangan.
WordPress.org ni open-source, percuma. So, tak ada sumber kewangan.
Sebab itulah kenapa namanya sama.
2. Dari segi kos perbelanjaan
WordPress.com beri anda pilihan untuk guna secara percuma dengan beberapa syarat:
- Kena guna subdomain wordpress. Contoh: www.lamansaya.wordpress.com
- Storage hanya 3GB
- Tak boleh install plugin atau ubahsuai code laman
Jika anda nak fungsi lebih, nak install plugin atau nak guna domain sendiri kena ambil pakej premium.
Pakej premium bermula daripada $4 hingga $45 sebulan.
(bersamaan dengan RM16 – RM180 sebulan)
WordPress.org pula bagi anda guna softwarenya, iaitu software original WordPress secara percuma.
Anda boleh lawati laman nya kemudian download software tersebut.
Akan tetapi untuk membina laman web menggunakan software tersebut anda kena beli domain dan hosting sendiri.
Terdapat banyak syarikat yang anda boleh pilih untuk beli domain dan hosting.
Harga berbeza-beza.
Nota: Saya guna dan rekomen anda mengambil servis daripada namecheap. Murah dan amat baik customer supportnya.
Kos belanja WordPress.com vs WordPress.org
Dalam hal ini terdapat 2 situasi berbeza, anda:
- Serius dalam dunia blogging, nak berbisnes, atau
- Sekadar nak ada blog untuk kegunaan peribadi sahaja
Jika anda nak buat blog sekadar untuk ‘bersahaja’ / peribadi, WordPress.com adalah pilihan terbaik.
Pilih pakej percuma. Kos percuma. Tak perlu belanja apa-apa.
Jika anda serius dalam dunia blogging, nak buat laman untuk bisnes anda, pilihan terbaik dari segi kos adalah WordPress.org.
Mari kita lihat sebabnya.
Jika anda serius, bermakna anda nak (kena) ada domain sendiri.
Untuk WordPress.com, nak ada domain sendiri kena ambil pakej premium.
Kos paling rendah usd 4 sebulan. Kira-kira RM16 sebulan.
Ditambah dengan domain, kos setahun lebih kurang RM240
Tak ada pilihan.
Untuk WordPress.org pula, anda mempunyai pilihan.
Anda boleh pilih dari mana dan berapa harga domain + hosting yang anda nak beli.
Kita ambil contoh pakej daripada namecheap.
Kos setahun lebih kurang RM172 (domain + hosting), belum termasuk diskaun yang diberikan.
3. Dari segi proses setup
WordPress.com prosesnya sangat mudah. Klik, isi, klik, isi dan siap.
Anda hanya perlu lawati laman webnya: https://wordpress.com.
Klik pada butang ‘Start your website‘.
Kemudian anda akan dipandu sehinggalah proses siap.
Anda boleh lihat juga panduan ini untuk prosesnya: Buat blog percuma WordPress.
WordPress.org prosesnya agak mencabar sedikit terutama bagi yang baru bermula.
Bantuan pakar mungkin diperlukan tapi tidak semestinya.
Jika anda sanggup meluangkan sedikit masa untuk belajar pasti tak ada masalah.
Dibandingkan dengan wordpress.com, untuk WordPress.org anda tak perlu pun pergi ke laman wordpress.org.
Sebaliknya proses setupnya bermula di tempat anda beli hosting dan domain.
Berikut merupakan ringkasan proses setupnya:
- Tentukan nak beli domain + hosting dekat mana.
- Selesaikan proses pembelian
- Masuk ke cPanel atau klik butang setup jika disediakan (bergantung pada system yang digunakan oleh syarikat tempat anda beli domain + hosting)
- Install WordPress
- Selesai.
Untuk info lanjut mungkin anda boleh baca: Cara buat blog sendiri.
Proses setup WordPress.com vs WordPress.org
Jika kita nak proses setup yang senang, sudah tentu WordPress.com.
4. Dari segi pilihan theme
Theme adalah pakej installation yang mengubah rupa bentuk atau stail laman anda.
Anda perlukan theme untuk menjadikan laman anda lebih menarik.
WordPress.com, jumlah theme yang boleh anda pilih dan gunakan adalah bergantung pada pakej yang anda pilih.
Untuk pakej percuma blog WordPress.com, boleh akses dan guna lebih kurang 150 theme secara percuma.
Kalau anda nak lebih banyak pilihan, anda kena upgrade pakej ke pakej premium, business atau ecommerce.
Anda tak boleh guna theme lain selain daripada theme yang diberikan oleh wordpress.com.
WordPress.org, terdapat beribu theme yang anda boleh gunakan.
Anda boleh pilih dan guna semua theme yang ada disenaraikan dalam direktori theme wordpress.org.
Selain itu, anda boleh upload masuk dan gunakan theme wordpress lain selain daripada yang tersenarai dalam direktori theme wordpress.org.
Pilihan theme WordPress.com vs WordPress.org
Sudah tentu WordPress.org menang. Terdapat ribuan theme wordpress yang anda boleh dapatkan online dan gunakan.
5. Dari segi pilihan plugin
Plugin diperlukan jika anda mahu menambah fungsi dalam laman anda.
WordPress.com membenarkan untuk anda install plugin, dengan syarat mesti pilih pakej Business atau eCommerce.
Yang mana pakej ini berharga lebih kurang RM100 & RM180 sebulan.
WordPress.org pula tak ada batasan untuk anda install sebanyak mana plugin yang anda mahu.
Tak ada bayaran tambahan untuk install plugin. Percuma.
Anda boleh akses kesemua plugin yang tersedia dalam direktori plugin wordpress.
Selain itu, anda juga boleh install mana-mana plugin lain yang dibuat khas untuk wordpress.
Pilihan plugin WordPress.com vs WordPress.org
Sudah tentu WordPress.org lagi baik. Anda tak perlu bayar apa-apa untuk install plugin.
(Kecuali jika anda nak guna plugin premium, kenalah beli plugin tersebut..)
6. Dari segi pilihan pengubahsuaian
WordPress.com dan WordPress.org menggunakan software yang sama iaitu software WordPress.
Untuk pakej percuma wordpress.com, anda tak dapat membuat sebarang pengubahsuaian selain daripada menukar theme.
Tak boleh akses fail laman anda, tak boleh ubah stail aka css dan sebagainya.
Nak tulis custom html pun tak boleh.
Anda hanya dibenarkan untuk akses database jika anda memilih pakej business atau ecommerce.
Untuk WordPress.org pula, tiada batasan untuk anda membuat pengubahsuaian.
Anda boleh akses database, boleh ubah coding, boleh ubah style dan sebagainya.
Hanya pengetahuan anda (dalam pengubahsuaian) sahaja yang jadi batasan.
Penting tak pengubahsuaian ni?
Bila anda sudah lama berkecimpung dalam dunia laman web ni anda akan tahu betapa pentingnya kebolehan untuk mengubahsuai.
Pilihan pengubahsuaian WordPress.com vs WordPress.org
Sudah tentu WordPress.org lagi baik. Tak ada batasan untuk anda lakukan apa sahaja.
7. Dari segi pilihan untuk jana income
Adalah sukar untuk anda menjana pendapatan dengan menggunakan WordPress.com.
Lagi sukar daripada blogger (blogspot).
Anda tak boleh guna adsense yang mana popular dikalangan blogger.
(Melainkan anda menggunakan pakej business atau ecommerce).
Terdapat pilihan lain sebagai alternatif iaitu WordAds.
WordAds adalah program advertising khas untuk pengguna WordPress.com
Akan tetapi pilihan ini hanya boleh digunakan oleh pengguna pakej premium dan ke atas.
Lagi satu, kebanyakan program untuk menjana income memerlukan anda untuk akses database @ mengubahsuai struktur laman anda yang mana adalah mustahil untuk pengguna percuma WordPress.com.
Tetapi mungkin anda boleh beraffiliate dan juga menjual barangan secara terus kerana cara ini cuma memerlukan anda memasukkan link atau maklumat cara pembayaran.
Untuk WordPress.org pula, anda boleh menggunakan semua pilihan yang ada untuk menjana income daripada laman anda.
Tiada batasan.
Pilihan untuk jana income WordPress.com vs WordPress.org
Pastinya WordPress.org. Pelbagai pilihan strategi yang boleh anda gunakan untuk menjana pendapatan daripada laman anda.
Baca juga: Cara buat duit dengan blog.
Kesimpulan
Kita berbalik kepada tajuk utama post ini:
Apakah bezanya antara WordPress.com dengan WordPress.org?
Jawapannya:
WordPress.org jauh lagi baik daripada WordPress.com. Kecuali dari segi tahap kesusahan untuk setup laman.
Anda tidak pernah salah jika anda pilih WordPress.org untuk blog/laman anda.
Jika anda buat blog untuk sekadar sahaja, mungkin boleh cuba plan percuma WordPress.com.
Tetapi jika anda nak yang serius, pilihan terbaik adalah WordPress.org.
herry says
hi,,maaf saya ada soalan.berbalik pada topik yang ke 7,dari segi pilihan untuk jana income.bagaimana income itu boleh dijana dengan blog laman sendiri yang kita bina? maksud saya dari sudut mana dan bagaimana income itu boleh dijana melalui blog kita? dan cara kita boleh mendapat income dari blog kita?..maaf saya masih newbies
Nurul says
Bagus soalan awak ni. Saya pun nak tanya soalan yg sama. Admin, please reply cepat.
B.L. Joseph says
Terdapat pelbagai cara contohnya kita buat affiliate, pasang iklan dari adsense, sediakan ruang iklan untuk disewa, jual ebook, jual produk sendiri… kita boleh lihat pilihan disini: Cara buat duit dengan blog.
Nurul says
Terima kasih, admin. Banyak yg kena study sebelum buat blog ni
zaini says
Assalamualaikum tuan admin…
Memandangkan tuan cakap WordPress.org lebih bagus maka saya nak pilih WordPress.org. Ok setelah saya membeli domain dr Namecheap bagaimana caranya untuk saya menggunakan WordPress.org.
B.L. Joseph says
Salam sejahtera tuan, lepas beli domain dan juga hosting, tuan boleh akses cPanel kemudian dari sana bolehlah install wordpress.org (softwarenya).
Reduan says
Slamat petang tuan, saya nak tanya, kalau kita guna yg free (WordPress.com) tu dahulu, selepas
dalam tempoh masa yg lama kita ingin tukarkan laman web kita ke WordPress.org pula boleh ke? Sebab saya masih pelajar dan tiada sumber pendapatan lagi untuk membeli pakej dan hosting di WordPress.org tu lagi.. terima kasih
B.L. Joseph says
Salam sejahtera, ya boleh. Kita boleh pindahkan semua content daripada wordpress.com ke wordpress.org. Cuma kita tidak dapat lakukan redirect automatik dari laman wordpress.com ke laman baru, terpaksa nyatakan secara manual (buat notifikasi) dalam laman wordpress.com tersebut yang kita telah berpindah ke blog baru.